JANGAN TERPERDAYA E-MEL, MESEJ HADIAH
Berita Nasional
JANGAN TERPERDAYA E-MEL, MESEJ TUNTUTAN HADIAH
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menafikan pihaknya pernah mengeluarkan e-mel atau mesej kepada orang awam untuk menuntut hadiah wang tunai melalui skim bonus yang ditawarkan syarikat telekomunikasi.
Menurut kenyataan dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat SKMM, e-mel yang kembali tular di media sosial itu mendakwa, si mangsa yang ditujukan mesej berkenaan masih mempunyai transaksi belum diselesaikan dengan syarikat Telekom Malaysia Berhad, iaitu sebagai pemenang hadiah wang tunai sebanyak RM270,000 di bawah skim TM Family Gift Bonus.
“Orang ramai digesa sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan e-mel atau mesej yang tidak ditentukan kesahihannya.
“Elakkan daripada memberi butiran peribadi seperti kad dan nombor akaun bank kepada individu yang tidak dikenali,” menurut kenyataan itu.
SKMM turut menegaskan penggunaan logo suruhanjaya itu oleh mana-mana pihak tanpa mendapat kelulusan adalah satu kesalahan.
Sebarang laporan dan aduan berhubung penerimaan mesej sedemikian boleh disalurkan kepada SKMM melalui talian 1800188030 atau melalui aplikasi WhatsApp di talian 016-2206262.
Orang ramai juga boleh membuat aduan dengan menghantar e-mel ke atau melayari laman sesawang aduan.skmm.gov.my untuk tindakan susulan.
Sumber: BH Online