HERRERA PUNCA CAVANI KE UNITED
Berita Sukan
HERRERA PUNCA CAVANI KE UNITED
LONDON: Edinson Cavani mendedahkan perbualan saat akhir dengan bekas pemain tengah Manchester United, Ander Herrera membantu menyakinkan dirinya untuk membuat keputusan berpindah ke Old Trafford.
Penyerang prolifik itu menamatkan spekulasi berhubung masa depannya dengan menandatangani kontrak bersama United pada hari terakhir sebelum pintu perpindahan ditutup selepas meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG).
Pemain berusia 33 tahun itu sebelum ini dikaitkan dengan beberapa buah kelab termasuk Atletico Madrid, Benfica dan Leeds United sebelum menyertai United.
Dia mendedahkan nasihat daripada Herrera yang juga rakan sepasukannya di PSG memainkan peranan penting ketika dia membuat keputusan akhir.
“Ya, saya bercakap dengan Ander termasuklah rakan sepasukan yang lain seperti Angel Di Maria.
“Pada saat akhir, saya menghubungi Ander untuk mendapatkan pandangannya. Saya sangat mengagumi Ander disebabkan dia seorang yang baik dan saya dapat merasakan nasihat daripadanya akan dapat membantu saya dengan menceritakan pengalamannya ketika bersama United.
“Memang benar, selepas saya bercakap dengan Ander, saya membuat keputusan untuk menandatangani kontrak dengan kelab ini (United),” kata Cavani.
Cavani sudah merekodkan 341 gol dalam 556 perlawanan sepanjang kerjaya di kelab dan kini mengintai peluang untuk membuktikan kehebatannya dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Selepas menandatangani kontrak selama setahun bersama skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer, dia diberikan jersi nombor tujuh yang sebelum ini dipakai bintang kelab berkenaan seperti George Best, Eric Cantona, David Beckham dan Cristiano Ronaldo.
Penyerang antarabangsa Uruguay itu sedar dengan tanggungjawab besar yang dipikulnya apabila memakai nombor berkenaan dan bertekad untuk membantu mengembalikan kegemilangan United.
Sumber: AFP