KERAJAAN PAHANG SASAR CAPAI IMUNITI KELOMPOK 14 OKTOBER
KERAJAAN PAHANG SASAR CAPAI IMUNITI KELOMPOK 14 OKTOBER
JERANTUT : Kerajaan Pahang telah mengenalpasti lokasi yang perlu dipercepatkan pemberian vaksinasi sekali gus meningkatkan imuniti kelompok menjelang 14 Oktober sebelum tiba musim tengkujuh yang dijangka akan berlaku tidak lama lagi.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Zakaria Ibrahim berkata, sasaran tersebut hanya dapat dicapai sekiranya bekalan vaksin mencukupi sebagaimana yang telah dijadualkan.
“Kita cuba elakkan kelewatan pemberian vaksin terutama kawasan yang jauh dan tahap kesampaian yang rendah yang mungkin menyukarkan ketika musim tengkujuh yang dijangka berlaku.
“Program Outreach Vaksinasi (POV) yang dilaksanakan di seluruh negeri ini bertujuan memudahkan penduduk di kawasan terpencil dan sukar diakses dari luar seperti di perkampungan Orang Asli untuk menerima vaksin selain memastikan tiada penolakan terhadap vaksin COVID-19.”
Beliau berkata demikian kepada media ketika melakukan lawatan kerja ke Program Outreach Vaksinasi (POV) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Piol, Jerantut.
Program outreach selama tiga hari di sekolah tersebut berjaya diberikan kepada 1,800 penduduk Felda Padang Piol, Kampung Ulu Retang, Kg Pasir Durian dan Kg Gajah Mati, sekali gus membentuk imuniti kelompok bagi Felda Padang Piol dan sekitar.-SAHIH.