CILI MERAH KENA SITA
Berita Jenayah
CILI MERAH KENA SITA
JOHOR BAHRU: Jabatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor menyita sebuah kontena membawa muatan 17,000 kilogram (kg) cili besar merah bernilai RM71,243.60 dari China, ketika pemeriksaan di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) Gelang Patah, petang semalam.
Pengarah MAQIS Johor, Nur Afifah A Rahman, pemeriksaan yang dijalankan Pegawai Penguatkuasa MAQIS Pelabuhan Tanjung Pelepas mendapati barangan itu dibawa masuk untuk pasaran tempatan.
“Berdasarkan pemeriksaan lanjut mendapati cili itu tidak mematuhi syarat import ditetapkan dalam permit import MAQIS iaitu tidak mempunyai Sijil Fitosanitasi dari negara asal dan gagal mematuhi Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan, sebagaimana dinyatakan dalam sijil perakuan 3P.
“Kesemua cili itu disita oleh Jabatan MAQIS untuk tindakan lanjut. Rakaman percakapan lelaki tempatan berusia 40-an yang juga pemandu lori kontena juga dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
Jika disabitkan kesalahan boleh didenda mengikut Seksyen 15(2) Akta yang sama dan jika sabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau dipenjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya.
“Pihak MAQIS sentiasa komited menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan di pintu masuk bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan kerajaan,” katanya.