BANTUAN KHAS COVID-19 (BKC) DIMANFAATKAN PENDUDUK LUAR BANDAR
BANTUAN KHAS COVID-19 (BKC) DIMANFAATKAN PENDUDUK LUAR BANDAR
LIPIS : Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pembayaran Bantuan Khas Vovid-19 (BKC) secara berperingkat bermula dengan Fasa 1 berjumlah RM3.1 bilion bakal memberikan manfaat meringankan perbelanjaan golongan sasar tersebut.
Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mengenalpasti sebanyak 189 kawasan Parlimen yang berada dalam kategori luar bandar di negara ini yang sejumlah besar terdiri daripada penduduk miskin tegar, kumpulan B40 dan M40 termasuk bujang.
Timbalan Menteri Satu Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, sudah tentu golongan tersebut merupakan penduduk di luar bandar bakal menerima Bantuan Khas Covid-19 (BKC) mulai 6 hingga 10 September ini.
“Pengumuman itu disambut baik semua golongan sasaran yang bakal dibayar secara berperingkat bermula dengan Fasa 1 berjumlah RM3.1 bilion memberikan manfaat meringankan perbelanjaan kehidupan golongan tersebut.
“Pembayaran (BKC) kepada golongan ini menzahirkan komitmen kerajaan untuk membantu penduduk berpendapatan rendah yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dan tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan pergerakan (PKP),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lipis berkata, pembayaran BKC juga menunjukkan bahawa kerajaan komited untuk melaksanakan pakej bantuan seperti mana yang telah diumumkan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) oleh Ismail Sabri.
Ini katanya, selaras dengan komitmen kerajaan dengan semangat Keluarga Malaysia dalam mengharungi pandemik Covid-19 dan juga impak pendapatan khususnya sektor ekonomi yang membabitkan keseluruhannya dalam kalangan masyarakat luar bandar.
“Semoga bantuan ini sedikit sebanyak merancakkan semula ekonomi di kawasan luar bandar dalam tempoh pemulihan pandemik Covid-19 ini,sekali gus dapat meringankan beban kewangan serta membantu menyara kehidupan serta kebajikan penerima termasuk keluarga masing-masing,” katanya.-SAHIH.