PEMANDU, KELINDAN MAUT DALAM KEMALANGAN JALAN RAYA DI BENTONG.
PEMANDU, KELINDAN MAUT DALAM KEMALANGAN JALAN RAYA DI BENTONG.
BENTONG: Pemandu dan kelindan lori maut dalam kejadian kemalangan jalan raya di Kilometer 43.5, Lebuhraya Kuala Lumpur ke Karak pada jam 3.00 petang, hari ini.
Pemandu lori, Nazli Misnon, 56, dan kelindannya, Anwar Tushali Arimi Mualimin, 25 maut di tempat kejadian dalam perjalanan dari Sabak Bernam menghala ke Raub.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, lori tersebut yang membawa muatan baja tiba-tiba hilang kawalan apabila melalui selekoh di lokasi kejadian.
“Hasil siasatan mendapati lori berkenaan terbabas ke kiri jalan lalu terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 5 meter.
“Mangsa tersepit di bawah lori dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan1987.
Zaiham, memohon kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut tampil bagi membantu siasatan.
Beliau juga menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa memandu kenderaan secara berhati-hati dan berhemah serta memastikan kenderaan yang dipandu diselenggara dengan baik dan selamat. – SAHIH.