MAYAT TENTERA LEMAS JUMPA DI KAMPUNG SERENGKAM MARAN
MAYAT TENTERA JUMPA DI KAMPUNG SERENGKAM MARAN
BERA: Mayat Lans Koperal Mohamad Azrin Mat Isa yang dilaporkan lemas ketika menjalani latihan taktikal Eksasais Para predator di Kampung Batu Bor, Bera dijumpai lengkap berpakaian oleh orang awam kira-kira 7.55 pagi tadi.
Mayat mangsa berusia 27 tahun itu dijumpai timbul di tebing Kampung Serengkam,daerah Maran, kira-kira 40 kilometer daripada lokasi dia dilaporkan lemas.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan bomba dan Penyelamat Negeri Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mayat mangsa dijumpai oleh bot orang awam yang terlibat dalam operasi dan mencari mangsa (SAR) yang masuk hari keempat hari ini.
Pada hari ini, seramai 141 anggota bomba dan penyelamat, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), nelayan dan unit amal terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa melibatkan 30 buah bot.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS),Temerloh.
Pada Ahad lalu, Lans Koperasl Mohamad Azrin hilang selepas terjatuh ke Sungai Pahang ketika cuba menyeberangi sungai berkenaan ketika menjalani latihan.
Dalam kejadian kira-kira 4.40 petang itu mangsa yang merupakan anggota 10 Briged Para sedang melaksanakan fasa latihan taktikal menyeberangi sungai.
Petang semalam, Yang Dipertuan Agong,Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli meninjau dan menyertai operasi pencarian mangsa.- SAHIH