TREND MINTA DERMA BAYAR WANG JAMINAN
TREND MINTA DERMA BAYAR WANG JAMINAN
PETALING JAYA – Seorang peguam hari ini mendedahkan wang jaminan yang dibayar kepada pihak mahkamah akan dipulangkan semula kepada penjamin selepas selesai perbicaraan kes.
Peguam sivil, Arif Muazzim Abdul Rahman menerusi laman Facebook miliknya berkata, semakin ramai individu mengutip derma bertujuan membayar wang jaminan dan beliau berpendapat wang itu perlu dikembalikan kepada mereka yang berhak.
“Kadang-kadang ia bukan duit penjamin. Ia mungkin duit orang ramai, kawan kepada OKT (Orang Kena Tuduh) dan sebagainya. Mungkin juga ia duit OKT. Tetapi perlu guna nama orang lain sebagai penjamin untuk menjamin.
“Anda perlu tahu bahawa selepas selesai kes sama ada OKT bersalah atau tidak, duit tersebut akan dikembalikan. Maka, apabila dapat semula, duit itu sepatutnya diserahkan semula kepada orang yang berhak. Bukan burn (lebur) atau diambil oleh pihak tertentu,” tulisnya hari ini.
Beliau berkata, wang jaminan itu hanya akan lebur jika penjamin mungkir tugasnya sebagai penjamin misalnya cuai dalam memastikan OKT hadir ke mahkamah,lapor kosmo online
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, seseorang yang mendapat jaminan polis bukan bermakna mereka perlu membuat sejumlah bayaran kepada pihak polis tetapi ia menunjukkan bahawa pihak polis yakin seseorang itu boleh memberi kerjasama apabila dipanggil untuk siasatan.