IPD KLANG JADI TUMPUAN
KELIRU SOP PUNCA IPD KLANG DISERBU PENDUDUK, PEKERJA
KLANG : Susulan pengumuman kerajaan untuk mengenakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Klang esok, penduduk sekitar yang ingin bekerja di luar kawasan mula berasa resah dan keliru.
Justeru itu, mereka mula membanjiri Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan sejak pagi semalam untuk mendapatkan cop pengesahan pihak berkuasa supaya dapat bekerja esok bagi menamatkan rasa keliru sama ada mereka masih boleh bekerja atau tidak.
Bagaimanapun, beberapa individu ditemui Malaysiakini memberitahu, mereka tidak dapat memperoleh cop pengesahan pihak polis.
Menurut Amir Yusof, 34, dia berasa keliru namun menjangkakan prosedur operasi standard (SOP) PKPB kali ini sama seperti yang berlaku di perintah kawalan pergerakan (PKP) sebelum ini.
“Sebelum ini waktu PKP dulu (yang saya tahu) SOP kena dapatkan pengesahan polis walaupun ada surat MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri). Sebab saya keliru, saya ke balai polis lah.
“Jadi sekarang ini tak perlu pula. Jadi saya rasa kalau nak buat (PKPB) kena ada SOP yang jelas lah,” katanya yang merupakan pengurus jabatan tadbir di sebuah syarikat di Petaling Jaya.
Selain itu, Saras Govindasamy ,65 (gambar, bawah) juga berkata dia ke balai polis terbabit untuk mendapatkan cop pengesahan pihak berkuasa kerana ingin ke Ipoh, Perak.
“Saya hendak balik kampung minggu depan, ada urusan keluarga. Dulu kalau mahu rentas negeri kena ada surat polis.
“Kalau tidak boleh, hari ini saya sudah gerak pulang. Tetapi saya datang polis kata tidak tahu pula,” katanya.
Untuk rekod, ketika PKP baru diumumkan pada 17 Mac, orang ramai berpusu-pusu di balai polis di seluruh negara (gambar, bawah) untuk mengisi dokumen pelepasan.
Susulan itu Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador menangguhkan arahan untuk orang ramai mendapatkan kelulusan polis bagi keluar ke negeri lain.
Kemudian pada 4 Mei lalu, kerajaan telah melaksanakan PKPB di negara bagi membolehkan sebahagian sektor ekonomi dan sosial dibuka semula.
Bagaimanapun, antara SOP adalah mereka yang ingin bekerja di luar daerah harus mendapatkan surat pengesahan dari majikan bukan pihak polis.
Hari ini, selepas melihat ramai orang awam mula beratur dan bertanya soalan sama, anggota polis di IPD Klang tampil memberikan penerangan.
Kata seorang pegawai polis, pihaknya tidak dapat mengeluarkan surat pengesahan dan pekerja hanya perlu mempunyai surat majikan.
Bagaimanapun, kata pegawai itu, penjelasannya tidak tertakluk kepada sebarang perubahan yang mungkin dimaklumkan oleh kerajaan kelak.
Susulan itu, penduduk mula beransur pulang dan meninggalkan kawasan ibu pejabat polis itu.
Sementara itu, penduduk di Pandamaran, Klang, Muthu Sinniah ,47 (gambar, bawah) juga berkata dia berasa risau sekiranya tidak dapat ke kerja esok.
“Saya risau takut tak dapat kerja. Saya sudah ada surat majikan cuma ingin dapatkan surat polis saja. Tetapi SOP kali ini mengelirukan,” katanya.
Sementara itu, Nava Netham ,34, yang sudah menunggu di balai polis tersebut sejak pukul 2 petang semalam turut berasa keliru mengenai SOP PKPB.
“Kita jadi tak jelas, benda ini (SOP) mengelirukan. Sebab itu saya datang ke balai polis tetapi mereka (polis) juga tak tahu,” katanya yang bekerja di luar mukim Klang.
SUMBER : Malaysiakini