SEKOLAH ‘BERCUTI’, SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN TETAP BERNYAWA
SEKOLAH MASIH ‘BERCUTI’, SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN TETAP BERNYAWA
JERANTUT : Aktiviti mengibarkan Jalur Gemilang cukup bermakna menjelang dan selepas sambutan 31 Ogos untuk dihayati oleh murid, guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Hulu Tembeling serta penduduk di situ terhadap sejarah negara berasaskan semangat perjuangan negarawan terdahulu.
Walaupun kesunyian tanpa kedengaran nyanyian lagu Negaraku dan lafaz Rukun Negara setiap kali perhimpunan pagi di sekolah berikutan murid ‘bercuti’ disebabkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Namun, Guru Besar, Sekolah Kebangsaan (SK) Hulu Tembeling, Jerantut, Abd. Manaf Mat tetap setia mengibarkan Jalur Gemilang di persekitaran sekolahnya hari ini.
Abd. Manaf berkata, ketika dalam kewaspadaan berdepan pandemik Covid-19 dan penguatkuasaan PKP penghayatan ulang tahun kemerdekaan negara ke-64 amat wajar untuk membugarkan nilai jati diri dan sayangkan negara bangsa walaupun tanpa ‘ditatap’ oleh murid sekolah itu.
“Sejak hari Isnin lalu, saya bersama pekerja pembersihan sekolah ini bertungkus-lumus memasang (mengibarkan) Jalur Gemilang walaupun dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.
“Walaupun SK Hulu Tembeling yang terletak di Kampung Bantal, sebuah perkampungan tradisional di mukim Hulu Tembeling yang terletak kira-kira 130 kilometer dari bandar Jerantut masih ‘sunyi’ tanpa kehadiran seramai 83 kerana men gikuti kelas secara Pengajaran Pengajaran di Rumah (PPdR),” katanya.
Katanya, sekolah menganjurkan pertandingan pakaian tradisional berasaskan Jalur Gemilang secara atas talian dan juga murid yang menyertai diminta menghantar gambar kepada juri (guru) di sekolah.
Sementara itu, Guru Pendidikan Islam, Fauzan Md. Thahib pula berkata, aktiviti mengibarkan Jalur Gemilang selari dengan hasrat Kementerian Pendidikan untuk menyemai nilai patriotisme berasaskan falsafah kemerdekaan tanahair.
“Walaupun tanpa murid dalam sesi bersemuka, tetapi ada kemeriahan dan tarikan kerana sekolah ini tertetak di tengah kawasan kampung tradisional Melayu, Kampung Bantal apabila Jalur Gemilang boleh dilihat oleh penduduk dan murid yang tinggal berdekatan.
“Usaha ini cukup relevan bagi menyemai nilai patriotik dan sejarah kemerdekaan negara selain murid disuntik pengetahuan semua mata pelajaran menerusi sesi PPdR setiap hari dalam tempoh PKP ini,” katanya. -SAHIH.