LELAKI MAUT, KERETA TERBABAS KE LALUAN BERTENTANGAN
LELAKI MAUT, KERETA TERBABAS KE LALUAN BERTENTANGAN
SIBU: Seorang lelaki maut apabila kereta yang dipandu terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan di Jalan Deshon, hari ini.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit ketika mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa dikenali sebagai Jaszrel Julian Rantai Jeffery, 28, dan beralamat di Jalan Permai Timur, di sini.
Katanya, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira jam 9.20 pagi ketika mangsa yang datang dari arah Hospital Sibu menghala ke arah Sungai Merah.
“Ketika tiba di tempat kejadian, kereta mangsa telah hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke lorong bertentangan dan bertembung dengan sebuah van.
“Van tersebut kemudian dilanggar sebuah oleh lori tangki minyak di sebelah kiri yang bergerak dari arah yang sama (arah Sungai Merah),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Stanley, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan manakala pemandu van, 40, yang patah kaki kiri dibawa menaiki ke Hospital Sibu.
Katanya, pemandu lori tangki minyak terbabit tidak mengalami kecederaan dan kes masih dalam siasatan.
Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon 4 Sibu Janggan Muling dalam satu kenyataan hari ini memberitahu pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 9.30 pagi, lapor Sarawak post
“Pasukan bomba menggunakan ‘spreader’ untuk membuka pintu van untuk mengeluarkan pemandu dan serahkan kepada pasukan perubatan. Manakala mangsa dikeluarkan dari pintu belakang yang remuk teruk,” ujar beliau.
Katanya, setelah keadaan di lokasi kejadian terkawal dan selamat operasi itu ditamatkan sekitar jam 11 pagi.