KETUA UMNO BAHAGIAN SUNGAI PETANI DIPANGGIL POLIS
KETUA UMNO BAHAGIAN SUNGAI PETANI DIPANGGIL POLIS
ALOR SETAR: Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff dipanggil polis bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan berhubung status jelik melibatkan individu tertentu di Facebook terhadap Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor, baru-baru ini.
Menurut Shahanim, beliau diminta memberi keterangan berhubung perkara itu oleh polis hari ini berhubung satu komen yang mengkritik Menteri Besar dalam satu status Facebook dimuat naik olehnya.
katanya, beliau sama sekali tidak mengetahui asas untuk memanggil dirinya bagi memberi kenyataan.
“Bagaimanapun sebagai rakyat yang akur kepada undang-undang, saya tetap hadir untuk memberi kerjasama.
“Namun persoalan yang ingin saya bangkitkan, apakah kerajaan negeri ini tidak boleh dikritik?” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Setakat ini terdapat empat individu termasuk dua individu yang berada di luar Kedah, ditahan bagi membantu siasatan terhadap dakwaan menghina dan mengaibkan Muhammad Sanusi.
Shahanim turut mempersoal apakah menjadi satu dosa kepada rakyat yang ingin meluahkan rasa kurang senang mereka terhadap sesuatu perkara.
“Sekiranya semua yang mengkritik kerajaan ditahan dan disiasat, saya yakin ini hanya menyusahkan pihak berkuasa seperti polis kerana terpaksa menjalankan siasatan terhadap isu remeh.
“Sedangkan ada banyak lagi kes dan isu yang perlu disiasat serta diberi keutamaan,” katanya.
Menjengah ke laman sosial pada hari ini, katanya, setiap masa akan ada rakyat yang melahirkan rasa tidak puas hati ekoran penularan wabak Covid-19 di negara ini, lapor Utusan Online
“Maka saya merayu agar semua pihak lebih prihatin terhadap nasib yang sedang melanda rakyat.
“Dalam masa sama, saya mewakili UMNO Sungai Petani akan terus menyalurkan segala maklumat, keluhan rakyat dan isu-isu berbangkit kepada kerajaan khususnya melalui menteri-menteri UMNO,” katanya.