WANITA DEMAM, TERKUNCI DALAM RUMAH DISELAMATKAN BOMBA
WANITA DEMAM, TERKUNCI DALAM RUMAH DISELAMATKAN BOMBA
IPOH – Sepasukan anggota bomba dipanggil membantu memecah masuk kediaman seorang wanita di rumah pangsa Taman Pakatan Bercham di sini yang mengalami demam apabila tidak boleh dimasuki jiran untuk membantu kerana pintu hadapan rumahnya berkunci dari dalam.
Menurut jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.28 pagi.
Menurut jurucakap itu, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh dikerah ke kawasan perumahan tersebut bagi memberikan bantuan.
“Kejadian melibatkan seorang wanita berusia 53 tahun yang terbaring di ruang tamu dipercayai demam selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 dos pertama.
“Mangsa yang tinggal sendirian di rumah itu masih sedarkan diri, bagaimanapun tidak boleh bangun manakala pintu pula berkunci dari dalam,” ujar jurucakap tersebut.
Komander operasi kemudian mengarahkan anggota untuk memotong mangga pintu menggunakan alat pemotong besi dan membawa mangsa turut menggunakan pengusung sebelum diserahkan kepada petugas perubatan.
Mangsa yang dikenali sebagai Mariam Din kemudian dikejarkan dengan ambulans ke Hospital Raja Perempuan Bainun untuk rawatan.