TAMAN NEGARA DIKOSONGKAN SEMENTARA
Berita Nasional
TAMAN NEGARA DIKOSONGKAN SEMENTARA
JERANTUT: Pelancong ke Taman Negara, Kuala Tahan di sini terpaksa memendekkan percutian berikutan arahan penutupan sementara Taman Negara mulai 6 Oktober sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Walaupun arahan dikeluarkan secara mengejut berikutan penularan COVID-19 yang semakin meningkat, pengusaha pelancongan dan pelancong tempatan yang sedang bercuti akur dengan arahan itu.
Pengurus Pelanggan, Mutiara Taman Negara Resort (MTNR), Sabri Abdullah berkata, 50 pengunjung dari Pulau Pinang dan Kuala Lumpur antara kumpulan terakhir yang mengosongkan pusat penginapan itu kelmarin.
Katanya, seramai 10 pengunjung dari Negeri Sembilan dan Putrajaya meninggalkan kawasan itu hari ini.
“Sektor pelancongan di Taman Negara mula bernafas semula selepas pandemik COVID-19 mula reda dan terpaksa akur dengan arahan terbaharu pihak berkuasa,” katanya.
Menurut Sabri, berikutan arahan penutupan sementara itu, semua kemudahan awan berkaitan aktiviti rekreasi dan riadah di kawasan kelolaan Taman Negara ditutup.
Katanya, aktiviti riadah dan rekreasi di Bukit Teresek, Lubuk Simpon, Lata Berkoh, Terenggan, Keniam serta bersiar di Sungai Tahan serta Sungai Sat antara tersenarai dalam larangan itu.
Sabri berkata, penutupan sementara Taman Negara memberi impak yang besar kepada pemilik pusat penginapan dan pengusaha apatah lagi notis singkat menyebabkan mereka tidak mempunyai masa cukup untuk memaklumkan kepada pengunjung yang sudah membuat bayaran.