WARGA EMAS POSITIF COVID-19 DITEMUI MATI TERGANTUNG
WARGA EMAS POSITIF COVID-19 DITEMUI MATI TERGANTUNG
BACHOK – Seorang lelaki warga emas yang disahkan positif Covid-19 ditemui mati dalam keadaan tergantung di sebuah rumah yang sedang dalam pembinaan di Kampung Padang Lati, Bekelam di sini hari ini.
Tukang rumah yang berusia 61 tahun itu ditemui tergantung pada tiang besi di dinding konkrit rumah yang dibinanya sendiri kira-kira pukul 12.40 tengah malam tadi oleh saudara yang berusia 15 tahun.
Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Suprintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, pihaknya menerima panggilan telefon mengenai penemuan mayat mangsa oleh ahli keluarganya kira-kira pukul 1.20 pagi.
“Siasatan awal mendapati, mangsa disedari hilang dari rumahnya kira-kira pukul 11 malam sebelum ahli keluarga keluar dan menemui lelaki itu di rumah yang sedang dibina.
“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian yang terletak kira-kira 30 meter dari rumahnya itu tidak menemui sebarang objek atau cecair yang mencurigakan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini, lapor KOSMO online
Mohamad Ismail berkata, hasil maklumat daripada keluarga, mangsa sebelum ini dipercayai mengalami kemurungan dan sering bercakap seorang diri sejak dua tahun lalu.
Katanya, keluarga juga memaklumkan bahawa mangsa mendakwa terdengar suara-suara bisikan halus selain pernah mendapat rawatan di Hospital Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini.