MERAYU HOSPITAL BANDAR JENGKA BERFUNGSI UNTUK PESAKIT BIASA
MERAYU HOSPITAL BANDAR JENGKA BERFUNGSI UNTUK PESAKIT BIASA
BANDAR JENGKA: Penduduk di sekitar Bandar Jengka dan Tanah Rancangan memohon pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengurangkan pengambilan pesakit Covid-19 ke Hospital Bandar Jengka atau memindahkan pesakit tersebut ke hospital lain.
Ekoran hospital itu memberi tumpuan kepada pesakit pandemik itu, berlaku pesakit biasa dari sekitar Jengka terpaksa ke Hospital Jerantut, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh, malah ke Hospital Lipis untuk mendapatkan rawatan.
Seorang penduduk di Taman Desa Jaya 2, Mohd Nasruddin Mat Nasir (45) berkata, penduduk di sini merayu agar Hospital Jengka mengurangkan pengambilan pesakit Covid-19 bagi memberi ruang untuk rawatan dan kemudahan kepada pesakit biasa tanpa pergi jauh ke hospital lain.
“Sejak hospital di sini dikhaskan untuk pesakit Covid-19, maka penduduk di sini bimbang untuk ke hospital ini untuk mendapatkan rawatan malah seolah penduduk di sini sudah tiada hospital.
“Kalau boleh semua pesakit Covid-19 ditempatkan di tempat lain seperti dewan yang terdapat di sekitar bandar Jengka dengan mewujudkan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) sini, katanya.
Katanya, agar hospital Jengka boleh menerima pesakit luar terutama wad ibu bersalin bagi memberi kemudahan kepada pesakit tanpa pergi jauh ke hospital lain.
“Baru-baru ini berlaku kejadian ibu mengandung bersalin di dalam kereta di pintu masuk Hospital Jengka, kemungkinan tidak sempat ibu yang sarat itu dihantar ke hospital lain.
“Saya cadangkan pesakit Covid-19 ditempatkan di PKRC di sekitar Bandar Jengka yang mempunyai kemudahan dewan yang sesuai demi keselesaan penduduk di sini,” katanya.-SAHIH.