TERKEJUT VAKSINATOR LUPA TEKAN PICAGARI
TERKEJUT VAKSINATOR LUPA TEKAN PICAGARI
PETALING JAYA – Seorang wanita terkejut apabila mendapati vaksinator di sebuah Pusat Pemberian vaksin (PPV) terlupa untuk menekan picagari berisi vaksin ketika dia menerima suntikan dos vaksin itu di sebuah PPV di Kuala Lumpur hari ini.
Bagaimanapun kejadian tersebut berjaya dirakam oleh wanita terbabit dan video berkenaan turut dikongsikan di Instagramnya.
Melalui video itu, jelas menunjukkan picagari itu hanya dicucuk seketika sebelum ditarik keluar semula dengan keadaan vaksin masih di dalam picagari tersebut.
Menurut wanita berkenaan, dia tidak menyangka kejadian seperti itu berlaku kepadanya dan difahamkan dia telah menerima dos vaksin selepas melaporkan perkara itu kepada petugas PPV.
“Lepas dah ‘report’ pada petugas dan tunjuk video ini, vaksinator tersebut mengatakan dia tidak perasan.
“Saya sangat marah ketika itu, kemudian mereka berikan saya suntikan lagi,” katanya.
Katanya, dia tidak pasti apakah niat sebenar vaksinator tersebut dan menegaskan akan melaporkan kejadian itu kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).
Tinjauan di ruang komen mendapati, rata-rata netizen meluahkan rasa marah dan berharap agar petugas tersebut dikenakan tindakan.
“Tak patut sungguh perkara seperti ini berlaku. Macam mana dengan penerima vaksin lain yang sebelum ini tidak dibenarkan merakam video? Risau pula kalau ingatkan sudah divaksin, rupanya tak tekan pun picagari,” kata Syariah, lapor KOSMO online
“Alasan tidak perasan macam tidak boleh dipakai. Sebab dari video ini nampak seperti dia memang sengaja,” kata Muzhameir.
“Bagaimana dia boleh kata tidak perasan sedangkan itu sahaja perkara yang dia perlu fokus. Dia juga tak periksa picagari tersebut,” kata Ashly. – K! ONLINE