BAYI LELAKI MAUT DIPATUK ULAR
BAYI LELAKI MAUT DIPATUK ULAR
REMBAU – Seorang bayi lelaki maut selepas empat jam dipatuk ular di kediaman keluarganya di Kampung Seberang Batu Hampar, Solok Jelawai Hilir, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, mangsa, Muhammad Danial Iqwan Muhammad Hafiz, setahun lima bulan disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 1 pagi di Hospital Rembau ketika sedang menerima rawatan susulan.
Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad, berdasarkan siasatan awal, mangsa yang merupakan anak bongsu tinggal bersama ibu, nenek dan abangnya di rumah berkenaan.
“Ketika kejadian, mangsa sedang bermain dengan abangnya berusia tiga tahun di bilik tidur utama bersama ibunya yang turut berada di bilik tersebut. Tiba tiba ibunya mendengar jeritan anak bongsunya itu, pada masa sama ternampak seekor ular lari masuk ke lubang dalam bilik tersebut.
“Wanita itu memeriksa dan ternampak kesan patukan ular di tapak tangan kiri anaknya dan terus membawanya ke Hospital Rembau,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi, lapor KOSMO online
Hazri berkata, kira-kira pukul 1 pagi, ibu mangsa dimaklumkan pihak Hospital Rembau bahawa anaknya telah meninggal dunia dan laporan polis dibuat ibu mangsa pada pagi ini.