PASANGAN KEKASIH DICEKUP REMPUH SJR DI PKPD GONG JERING
PASANGAN KEKASIH DICEKUP REMPUH SJR DI PKPD GONG JERING
KOTA BHARU, KELANTAN – Tindakan sepasang kekasih merempuh Sekatan Jalan Raya (SJR) di lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Gong Jering membawa padah apabila mereka ditahan polis pada Jumaat.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Muhammad Piah berkata, dalam kejadian jam 4.15 petang itu, kedua-dua suspek yang menaiki motosikal jenis Honda Ex-5 telah bertindak memecut laju semasa melalui SJR pertama di lokaliti tersebut.
“Semasa melalui SJR kedua, suspek sekali lagi telah bertindak memecut laju dan kemudian telah merempuh anggota yang cuba menahan motosikal itu,” katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu
Menurutnya, lelaki berusia 18 tahun dan kekasihnya yang berusia 17 tahun itu bagaimanapun berjaya ditahan oleh anggota bertugas.
Katanya, anggota yang dirempuh itu hanya mengalami kecederaan ringan di pergelangan tangan.
Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua menjadikan laluan tersebut sebagai jalan pintas, lapor SINAR HARIAN
“Kes disiasat bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
“Suspek turut disiasat mengikut Peraturan 3(1) Peraturan – Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah- Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020,” katanya.