BN, UMNO TAK PERLU LETAK CALON PRK BATU SAPI
Berita Politik
BN, UMNO TAK PERLU LETAK CALON PRK BATU SAPI
KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) dan UMNO disaran tidak meletakkan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi, Sabah.
Ketua Pemuda BN yang juga Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang mengutarakan cadangan itu, berkata ia mengambil kira kegawatan penularan pandemik COVID-19 ketika ini.
Katanya, penularan virus berbahaya itu semakin meruncing di Sabah dan berupaya mencetuskan risiko keselamatan terhadap rakyat.
“Cadangan sama juga disyorkan kepada semua parti politik lain, termasuk parti Perikatan Nasional (PN) bagi mengekalkan pegangan kerusi berkenaan yang ketika ini di bawah Parti Warisan Sabah (WARISAN).
“Fokus ketika ini harus diberikan untuk membendung wabak COVID-19 daripada terus menular, selain membantu rakyat menangani keperitan hidup yang terkesan dengan kegawatan ekonomi akibat pandemik.
“Pemuda UMNO percaya sudah tiba masanya untuk ahli-ahli politik melangkaui sempadan parti, dapat bersolidariti dan menzahirkan jiwa besar mengetepikan perbezaan serta persengketaan demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kerusi Parlimen Batu Sapi kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) pada 2 Oktober lalu.
Mendiang adalah penyandang jawatan Pengerusi Tetap WARISAN, berasal dari Kota Belud dan dipilih sebagai Ahli Parlimen Batu Sapi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRK Batu Sapi tetap perlu diadakan selaras Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan. SPR akan mengadakan mesyuarat khas pada Selasa depan bagi membincangkan tarikh penting PRK berkenaan.