489 KES BAHARU
Berita Nasional
489 KES BAHARU
PUTRAJAYA: Penularan COVID-19 masih tinggi dengan merekodkan 489 kes hari ini, menjadikan jumlah kumulatif penularan wabak itu dalam negara sebanyak 13,993 kes dengan kebolehjangkitan meningkat kepada 3,351 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 487 kes baharu dilaporkan itu, hanya dua kes import, selebihnya membabitkan penularan tempatan.
Beliau berkata, penularan tempatan itu membabitkan 457 jangkitan dalam kalangan warganegara dan 20 lagi kes bukan warganegara.
“Kes baharu penularan COVID-19 paling tinggi direkodkan di Sabah (282) diikuti Kedah (153) dan Selangor (20).
“Sebahagian besar kes di Kedah dari Kluster Tembok dan di Sabah dari zon-zon merah,” katanya dalam ciapan di Twitter, hari ini.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, ada 74 kes yang pulih hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada COVID-19 sebanyak 10,501 kes.
“Sehingga kini, 40 pesakit positif COVID-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 13 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.
Dalam pada itu, tiada kematian berkaitan jangkitan COVID-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) setakat 12 tengah hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kekal 141 kes.