PEMANDU LORI KONTENA MAUT DI TEMPAT KEJADIAN
PEMANDU LORI KONTENA MAUT DI TEMPAT KEJADIAN
LIPIS : Pemandu lori kontena maut apabila kenderaan yang dipandunya terbabas di Kilometer 7, Jalan Lipis – Merapoh berdekatan Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan, Lipis pada jam 2 pagi, hari ini.
Mangsa, Mohd Khairudin Abas @ Ibrahim, 33, yang beralamat di Kampung Bukit Merbau Selising, Pasir Puteh, Kelantan memandu lori kontena yang membawa kontena berisi palet kayu dari sebuah kilang di Padang Tengku dekat sini dalam perjalanan ke Kelang, Selangor.
Ketua Polis Lipis, Suprintenden Azli Mohd Noor berkata, ketika tiba di tempat kejadian lori kontena yang dipandu mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas ke kiri bahu jalan.
“Mangsa yang tersepit telah dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba dan disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan yang bertugas di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Lipis untuk tujuan post mortem selepas menerima keputusan saringan ujian Covid-19,” katanya di sini hari ini.
Menurut Azli, lokasi kejadian merupakan jalan satu lorong dua hala, laluan berselekoh, permukaan kering, cuaca gelap dan tiada pencahayaan lampu jalan .
“Siasatan lanjut mengenai kejadian ini dan kes kemalangan maut ini diklasifikasi di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.-SAHIH.