SEKOLAH MULA SESI BERSEMUKA 1 SEPTEMBER DEPAN
SEKOLAH MULA SESI BERSEMUKA 1 SEPTEMBER DEPAN
PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) membuat ketetapan bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bersemuka mulai 1 September depan dengan mengambil kira kadar vaksinasi semasa.
KPM dalam satu kenyataan berkata, sesi persekolahan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan diteruskan sehingga 31 Ogos ini.
Menurut KPM, ketetapan itu terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.
“KPM akan terus mengambil kira penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara bagi melihat sekiranya terdapat keperluan untuk membuat perubahan terhadap tarikh tersebut.
“Sebarang perubahan akan dimaklumkan lebih awal,” kata kenyataan itu di sini hari ini, lapor HM online.
KPM akan memaklumkan perincian lanjut mengenai pembukaan sekolah bagi sesi PdP secara bersemuka selewat-lewatnya seminggu sebelum sekolah dibuka.