ANIH BERHAD PASTIKAN OPERASI LEBUHRAYA KLK DAN LPT FASA 1 KEKAL TERBAIK
ANIH BERHAD PASTIKAN OPERASI LEBUHRAYA KLK DAN LPT FASA 1 KEKAL TERBAIK
WALAUPUN LARANGAN RENTAS NEGERI MASIH BERKUATKUASA
KUALA LUMPUR: Meskipun aktiviti rentas negeri tidak dibenarkan ketika ini, ANIH Berhad, pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), yang bermula dari Gombak, Selangor ke Jabor, Terengganu, terus peka dalam memastikan operasi dan kemudahan di sepanjang lebuh raya berada dalam keadaan terbaik.
Sudah menjadi tanggungjawab syarikat untuk memastikan keselesaan pengguna ketika menggunakan KLK dan LPT 1.
Pengarah Eksekutif ANIH Berhad, Datuk Nik Fauzi Tan Sri Nik Hussein berkata, syarikat mengambil maklum dan menghormati keputusan kerajaan mengenai larangan rentas negeri ketika ini.
“Bagaimanapun kami akan terus memastikan semua kemudahan lebuh raya termasuk di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R), Hentian Sebelah dan perkhidmatan tol serta trafik berada dalam keadaan terbaik dan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan’’.
“Untuk tempoh musim perayaan Hari Raya Aidiladha bermula 16 Julai hingga 25 Julai 2021, ANIH Berhad menjangkakan jumlah trafik akan mengalami penurunan berbanding jumlah purata harian, masing-masing sebanyak 81.3 peratus bagi KLK dan 72.5 peratus bagi LPT 1, “ katanya melalui kenyataan media.
Katanya, bagi mengekang penularan wabak COVID-19, semua kemudahan di sepanjang KLK dan LPT 1 turut mempraktikkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang tinggi, sebagaimana ditetapkan oleh Kementerian Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Ia termasuk proses sanitasi berkala, serta penyediaan cecair pembasmi kuman, serta peralatan merekod butiran diri dan alat pengimbas suhu badan.
“Oleh itu, pengguna lebuhraya disarankan untuk sentiasa mematuhi SOP ketika menggunakan kemudahan lebuhraya,” katanya.
Kata Nik Fauzi, semasa mensyukuri nikmat Hari Raya Aidiladha yang bakal tiba, pengguna lebuh raya jangan alpa untuk terus mematuhi SOP yang disarankan dalam usaha menghentikan rantaian wabak Covid-19.
“Tanggungjawab ini perlu dipikul bersama, dalam memastikan Pelan Pemulihan Negara dapat dijayakan sebaiknya.
“Untuk perjalanan yang lancar, pengguna dinasihat untuk memastikan baki kad dan eWallet Touch ‘n Go adalah mencukupi sebelum memasuki lebuhraya,” katanya.
Katanya, urusan tambah nilai, pengguna boleh ke kiosk layan diri (SSK) yang disediakan di R&R Genting Sempah dan Hentian Sebelah Gombak bagi KLK ; R&R Temerloh Timur, R&R Temerloh Barat serta Plaza Tol Gambang bagi LPT1.
“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai syarikat di laman web ANIH Berhad atau menerusi Twitter @LPTTrafik dan Facebook Lebuhraya Pantai Timur. Bagi bantuan kecemasan, pengguna disarankan untuk menghubungi talian 24 jam LPT Line di 1-700-818-700 atau 09-5479 111,” katanya.-SAHIH.