KAPAL BAWA 12 PENUMPANG PUTUS HUBUNGAN
Berita Global
KAPAL BAWA 12 PENUMPANG PUTUS HUBUNGAN
JAKARTA: Sebuah kapal membawa 12 penumpang terputus hubungan di perairan pulau peranginan Bali, Indonesia dan operasi mencari serta menyelamat sedang dijalankan, kata pihak penyelamat hari ini.
Agensi berita Xinhua melaporkan, kapal nelayan, KM Tanjung Permai, yang dikendalikan syarikat PT Liniati Abadi, kali terakhir berkomunikasi pada jam 9 malam waktu tempatan Isnin lalu.
Ketua Unit Operasi Pejabat Mencari dan Menyelamat di Bali, Anak Agung Ketut Alif Supartana, berkata menurut syarikat itu, semasa komunikasi, seorang kru melaporkan air laut melimpah masuk ke dalam kapal.
“Namun, tidak dapat dipastikan sama ada kapal itu mengalami kebocoran atau disebabkan gelombang besar,” katanya.
Tambah beliau, kapal itu menjalankan kegiatan menangkap ikan di Selat Badung, selatan pulau Bali sebelum terputus hubungan.
Menurut Supartana, cuaca buruk melanda daerah itu sejak beberapa hari lalu, dengan ombak besar dilaporkan berlaku di kawasan perairan.
Kapten Penyelamat Arief Yulianto, berkata semua nelayan sudah dimaklumkan mengenai keadaan itu oleh agensi cuaca yang menasihatkan kegiatan penangkapan ikan ditangguhkan.
“Sebuah helikopter, dua kapal, anggota mencari dan menyelamat tempatan, polis serta tentera sudah dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Semua kapal diarahkan melakukan pencarian di sekitar lokasi kejadian. Setakat ini belum ada sebarang penemuan,” katanya.
Agensi Meteorologi dan Geofizik Indonesia mengeluarkan amaran hujan dicetuskan fenomena La Nina yang melanda sebahagian kawasan di negara kepulauan itu sejak beberapa hari lalu.
Sumber: BERNAMA