MAYAT RENTUNG DALAM VAN
MAYAT RENTUNG DALAM VAN
Kota Bharu: Lelaki ditemukan rentung dalam sebuah van yang terbakar di Kampung Bechah Keranji, di sini hari ini.
Mangsa dipercayai dikenali sebagai Ibrahim Mohamed Noor, 59.
Mayat mangsa ditemukan penduduk kampung yang ingin ke sawah, kira-kira jam 4 petang, selepas memeriksa sebuah van yang sudah hangus terbakar.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohamad Piah berkata, mangsa ditemui di tempat duduk pemandu.
Katanya, identiti sebenar mangsa sukar dikenali kerana keadaannya yang hanya tinggal rangka.
“Berdasarkan maklumat daripada penduduk kampung, mereka memaklumkan ternampak kepulan asap tebal di lokasi pada petang semalam namun menyangkakan hanya kebakaran biasa memandangkan ia adalah kawasan semak serta kedudukannya 200 meter daripada jalan utama.
“Bagaimanapun, seorang penduduk yang masuk ke kawasan itu ternampak sebuah van yang rentung sebelum menemui rangka manusia yang hangus 100 peratus di tempat duduk pemandu,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Abdullah berkata, siasatan awal mendapati mangsa adalah seorang pesara tentera dan memiliki kad rawatan mental serta mengalami masalah kemurungan sejak sekian lama.
Menurutnya, mangsa yang juga mengusahakan perniagaan katering sering mendapatkan rawatan di hospital mental di sini dan keadaan kesihatannya semakin teruk sejak kematian bapa mentua awal tahun ini.
“Menurut anaknya, mangsa sempat mengisi penuh tangki minyak kenderaan terbabit pada petang semalam sebelum keluar.
“Mayat dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat serta proses pengecaman dan setakat ini kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya.
Sementara itu anak mangsa, Amin Ibrahim, 19, berkata, bapanya keluar jam 5 petang semalam dan tidak pulang ke rumah selepas itu.
Katanya, bimbang berlaku perkara buruk, dia ke balai polis berhampiran untuk melaporkan kehilangan bapanya, lapor HM online
“Saya juga membuat hebahan menerusi aplikasi WhatsApp selain keluar mencari bapa bersama rakan serta penduduk kampung di sekitar kampung namun gagal sebelum menerima berita mengenai penemuan van dan rangka manusia yang sudah rentung,” katanya.