ULAR TEDUNG SELAR BERDIRI DI RUANG TAMU
ULAR TEDUNG SELAR BERDIRI DI RUANG TAMU
SUNGAI PETANI: Tiga sekeluarga melalui detik cemas selepas seekor ular tedung selar sepanjang kira-kira empat meter masuk ke dalam rumah mereka di Kampung Serukam di sini, semalam.
Nurhidayah Mohd. Shawal, 20, berkata, kehadiran ular tedung tersebut disedari neneknya, Che Basah Baharom, 74, yang sedang berbaring di ruang tamu rumah kira-kira pukul 5 petang.
Katanya, ketika kejadian dia baru selesai menunaikan solat Asar di dalam bilik sebelum neneknya datang dan memaklumkan tentang reptilia itu.
Katanya, dia segera mengajak neneknya untuk bersembunyi di dalam bilik selepas mendapati ular tersebut berada dalam rumah itu, selain mengejutkan sepupunya, Nur Murni Amani Amirhizam, 16, yang sedang tidur di dalam bilik tersebut.
“Badan saya menggigil melihat ular tedung selar sedang itu ‘berdiri’ setinggi kira-kira 0.6 meter di ruang tamu rumah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sementara itu, tambahnya, ketika kejadian datuknya, Abu Seman Ali, 75, berada di luar rumah.
“Saya cuba menghubungi beberapa ahli keluarga terdekat untuk meminta bantuan dan seorang bapa saudara saya kemudian menghubungi rakannya dari Skuad Sungai Petani Respone Team,” ujarnya.
Sementara itu, sukarelawan dari Skuad Sungai Petani Respone Team, Mohd Amir Faizal Mohd Zaki berkata, sebaik sahaja tiba, dia mendapati ular itu berlingkar di bawah tayar basikal di ruang tamu rumah mangsa, lapor KOSMO online
Katanya, dia mengambil masa selama 15 minit untuk menangkap ular berkenaan yang bertindak agresif sebelum diserahkan kepada Pejabat Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Muda untuk tindakan lanjut.