CUKAI JALAN TAMAT TEMPOH BOLEH GUNA SEHINGGA 30 SEPTEMBER
CUKAI JALAN TAMAT TEMPOH BOLEH GUNA SEHINGGA 30 SEPTEMBER
NAMUN, PERLINDUNGAN INSURANS PERLU ADA
TEMERLOH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melanjutkan tempoh bagi memperbaharui lesen kenderaan (cukai jalan) yang tamat pada 1 Jun sehingga 31 Julai dan boleh menggunakannya tanpa memperbaharui termasuk lesen memandu masing-masing sehingga 30 September ini.
Walaubagaimanapun, orang ramai perlu memastikan kenderaan masing-masing memiliki perlindungan insuran yang sah, jika diminta oleh pihak berkuasa untuk membuktikannya.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, kelonggaran itu diberi berikutan negara masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan boleh memperbaharuinya sehingga 30 September.
“Tidak perlu cukai jalan tetapi mesti ada salinan insuran, ini sudah cukup memadai sehingga 30 September, begitu juga teksi yang terlibat dengan pemeriksaan PUSPAKOM setahun sekali.
“Kerajaan memberi kelonggaran dan tidak memberi saman sekiranya pemeriksaan kenderaan PUSPAKOM tidak dilakukan, sepatutnya kelonggaran itu tamat pada 31 Julai ini, termasuk melibatkan pemandu teksi” katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat pemantauan ke atas komuniti teksi serta memberi bantuan bakul makanan kepada kelompok itu di daerah Temerloh, Pahang, semalam.
Tambah beliau lagi, bantuan tersebut diagihkan berikutan pemandu teksi antara pihak yang terjejas sejak PKP dilaksanakan di seluruh negara.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Teksi Temerloh, Abdul Halim Awang berkata, sumbangan tersebut dapat meringankan beban buat mereka yang terjejas seramai 115 orang pemandu yang aktif.
“Pemandu teksi bergantung kepada penumpang, tiada penumpang yang memerlukan perkhidmatan teksi, semua kaunter tutup.
“Kami datang ke stesen teksi mengharap kalau ada yang memerlukan perkhidmatan kami, kalau ada penumpang adalah rezeki kami, selainnya bersembang bersama pemandu lain,”katanya.
Turut hadir, Pengarah JPJ Negeri Pahang, Kamarul Iskandar Nordin dan Presiden PEKUASA, Tuan Muhammad Kifli Ma Hassan. -SAHIH.