MAYAT DITEMUKAN DALAM KERETA TERBAKAR
MAYAT DITEMUKAN DALAM KERETA TERBAKAR
Gombak: Kebakaran mendadak sebuah kereta berhampiran sebuah kedai runcit di sini, membawa kepada penemuan mayat seorang wanita di dalam kenderaan itu.
Dalam kejadian kira-kira 4 pagi tadi, Perodua Kancil itu dikatakan terbakar berhampiran Jalan 4/2, Bandar Baru Selayang di sini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.25 pagi sebelum lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Selayang termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi.
Menurutnya, kebakaran membabitkan sebuah Perodua Kancil.
Pemeriksaan awal, mendapati 40 peratus bahagian dalam kereta itu musnah terbakar.
“Setelah pemadaman dilakukan, anggota bomba menemui mayat seorang wanita di bahagian tempat duduk pemandu di dalam kereta itu, lapor HM online.
“Susulan itu pihak bomba menyerahkan kes kepada Unit Forensik dan polis untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya.