REMAJA MENYAMAR SEBAGAI DOKTOR DITAHAN
REMAJA MENYAMAR SEBAGAI DOKTOR DITAHAN
KUCHING: Rahsia seorang remaja yang menyamar sebagai seorang doktor terbongkar apabila dipercayai seorang rakan sekelas tertuduh ketika di belajar tingkatan dua pada 2016, mengenalinya semasa berada di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Stadium Kuching, pada 1 Julai lalu, kira-kira jam 3.00 petang.
Tertuduh telah melakukan kesalahan itu antara Januari hingga Julai tahun ini, dan menyamar sebagai pegawai perubatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) sebanyak 32 kali antara 15 Jun hingga 1 Julai lalu.
Ketika ditahan, polis turut merampas peralatan kedoktoran, pakaian kerja berwarna biru, serta pas kerja palsu dengan nama Dr Shah Hairil Izman.
Tertuduh, Shah Hairil Izman Dave, 20, dari Bandar Baru Semariang membuat pengakuan itu semasa prosiding yang dilakukan di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi pada Selasa.
Bagaimanapun, Zubaidah dalam penghakimannya memutuskan agar tertuduh ditahan lanjut sehingga 17 Ogos. Mahkamah turut menetapkan tarikh 18 Ogos depan sebagai sebutan semula kes bagi mendengar laporan sosial tertuduh.
Syah Hairil dituduh di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau denda jika disabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah memperkenalkan dirinya sebagai Dr Shah Hairil, siswazah perubatan yang ditugaskan di hospital kerajaan di bahagian neurologi.
Dipetik Astro Awani