SEKTOR KILANG DI BENTONG DIMINTA PATUH SOP
SEKTOR KILANG DI BENTONG DIMINTA PATUH SOP
BENTONG : IbuPejabat Polis Daerah (IPD) Bentong terus melaksanakan Op Patuh ke atas sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi sepanjang sekatan penuh pergerakan dalam usaha mengurangkan kes jangkitan Covid-19.
Menurut laman facebook Polis Bentong, operasi membanteras ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) melibatkan sepasukan Pegawai dan anggota Polis IPD Bentong diketuai oleh Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritenden Mohd Shahril Ab Rahman.
Polis turut berkolaborasi bersama Majlis Perbandaran Bentong (MPB) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Bentong.
“Op Patuh Covid-19 memberi tumpuan terhadap penguatkuasaan pematuhan SOP di sebuah kilang di bawah Pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong.
“Hasil pemeriksaan di kilang terbabit mendapati, jumlah pekerja tidak melebihi 60 peratus seperti yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) namun satu kompaun dikeluarkan ke atas syarikat tersebut kerana gagal memastikan pekerja patuh pada SOP yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan dua kompaun dikeluarkan ke atas individu yang bekerja di kilang tersebut kerana gagal mengimbas aplikasi MySejahtera dan memakai pelitup muka,”kata laporan itu.
Ketua Polis Daerah Bentong, Supritenden Zaiham Mohd Kahar meminta kerjasama sepenuhnya daripada semua pemilik kilang khususnya yang berada di sekitar Daerah Bentong supaya ambil cakna dan mematuhi SOP Sektor Pengilangan dan Pembuatan yang telah dikeluarkan.
“Ini kerana, Op Patuh dilaksanakan mendapati masih ada di kalangan pemilik kilang dan pekerja yang tidak patuh pada SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sehingga tindakan kompaun terpaksa diambil ke atas mereka,”katanya.