PERDIM SOKONG 23,000 DOKTOR KONTRAK DISERAPKAN KE JAWATAN TETAP
PERDIM SOKONG 23,000 DOKTOR KONTRAK DISERAPKAN KE JAWATAN TETAP
KUANTAN: Kemelut 23,000 doktor yang masih bergelar pegawai perubatan kontrak yang merayu segera dilantik ke jawatan tetap mendapat reaksi positif daripada Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (PERDIM).
Presidennya, Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail berkata, PERDIM menyokong sepenuhnya tuntutan untuk penyelesaian isu pegawai-pegawai perubatan junior bertaraf kontrak untuk diserapkan ke jawatan bertaraf tetap.
Katanya, sektor kesihatan dan perubatan sentiasa diperakui sebagai bidang asas, utama dan penting dalam kehidupan manusia, maka tindakan kerajaan mestilah selari dengannya iaitu sentiasa mengutamakan pengiktirafan dan layanan yang sewajarnya kepada petugas-petugas kesihatan.
“PERDIM dengan ini mendesak pihak berwajib supaya segera memberikan perhatian dan menyelesaikan masalah tuntutan ini yang telah berlarutan sekian lama.
“Sehubungan dengan itu, PERDIM dan ahli-ahlinya akan bersama-sama menyokong ‘Black Monday’ yang dirancang sebagai tanda protes secara aman terhadap ketidakadilan terhadap pegawai-pegawai perubatan junior bertaraf kontrak,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, bagaimanapun, PERDIM berpendirian tegas bahawa isu ini hendak diselesaikan dengan rundingan dan perbincangan, bukan secara mogok, raptai, ‘hartal’, ‘strike’ atau seumpamanya yang bertentangan dengan kesopanan dan kesusilaan, yang boleh memudaratkan rakyat dan negara ini.
Ahmad Shukri, memohon pihak berkaitan segera melantik pegawai perubatan itu kerana terdapat yang sudah bertugas sehingga lima tahun dan satu kerugian kerana mereka sudah dilatih dan telah menjalani latihan seterusnya tamat dengan jayanya.
“Tenaga mahir ini jangan dipersiakan dan perlu diguna sebaik mungkin kerana dalam keadaan pandemik ini menunjukkan betapa perlunya golongan ini membantu dan menangani situasi yang sangat mencabar,” katanya.-SAHIH.