NELAYAN MAUT TERKENA RENJATAN ELEKTRIK KETIKA MENANGKAP IKAN
NELAYAN MAUT TERKENA RENJATAN ELEKTRIK KETIKA MENANGKAP IKAN
LUMUT: Nelayan warga Thailand parah selepas terkena renjatan elektrik dalam bot nelayan tempatan yang keluar menangkap ikan di perairan Lumut hari ini.
Mangsa berusia 54 tahun yang melecur separuh badan kemudian dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Seri Manjung (HSM) kira-kira pukul 6 pagi tadi.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, terdahulu pihaknya menerima laporan seorang kru nelayan dilaporkan mengalami kecederaan serius ketika berada di atas bot nelayan tempatan pada pukul 1.27 pagi.
Menurutnya, ketika kejadian, bot itu dikesan berada pada kedudukan lebih kurang 26.8 batu nautika barat laut Pulau Pangkor.
“Berikutan itu, Kapal Maritim (KM) Gagah dikerahkan serta merta ke titik koordinat kecemasan tersebut bagi melaksanakan pemindahan dan bantuan perubatan kepada mangsa.
“Pada masa sama, pihak HSM turut dimaklumkan bagi bantuan kecemasan dan perubatan terhadap mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Shahrizan, Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) juga diaktifkan oleh Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi sekitar pukul 1.40 pagi.
Katanya, sebaik sahaja tiba KM Gagah di lokasi sekitar pukul 2.30 pagi, kru kapal segera melaksanakan bantuan pemindahan perubatan mangsa dari bot nelayan tersebut ke kapal dan seterusnya dibawa ke jeti Pasukan Gerakan Marin (PGM) Kampung Acheh bagi pemindahan mangsa ke HSM untuk mendapatkan rawatan lanjut, lapor Utusan Online.
“Hasil maklumat di lokasi, kejadian dilaporkan berpunca daripada renjatan elektrik di atas bot dan mangsa juga kelihatan di dalam keadaan separuh sedar ketika itu sebelum disahkan meninggal dunia ketika dirawat di HSM,” katanya.
Maritim Negeri Perak meminta orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737.