LELAKI DIKHUATIRI LEMAS DALAM SUNGAI
LELAKI DIKHUATIRI LEMAS DALAM SUNGAI
Alor Setar: Lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai di Sungai Kuala Pai, Pokok Sena, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 10.24 pagi.
Menurutnya, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena dikejarkan ke lokasi untuk bantuan.
“Setiba di lokasi, didapati seorang lelaki berusia 31 tahun dipercayai terjatuh ke dalam sungai berkenaan.
“Berdasarkan maklumat adik mangsa, abangnya dipercayai mengalami masalah kesihatan,” katanya dalam kenyataan, di sini, lapor HM online.
Katanya, setakat ini Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Jitra dan BBP Sungai Petani diarahkan ke lokasi untuk pencarian mangsa.