GUNA BORANG MITI, LORI BAWA 1,505 KILOGRAM DAUN KETUM
GUNA BORANG MITI, LORI BAWA 1,505 KILOGRAM DAUN KETUM
PEMANDU LORI DITAHAN DI SEKATAN JALAN RAYA TOL BENTONG
BENTONG: Seorang lelaki warga tempatan berusia 28 tahun yang memandu sebuah lori 3 tan diberkas di Sekatan Jalan Raya (SJR) di Tol Bentong bersama 285 bungkusan dan 25 kotak pelbagai saiz berisi daun ketum, kira-kira jam 8.30 pagi, semalam.
Pemandu tersebut yang ditahan di SJR tersebut mempamerkan borang Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di hadapan tempat duduk pemandu lori sebagai salah satu taktik mengabui pihak berkuasa untuk tidak menahan lori tersebut untuk melepasi sempadan dengan muatan yang dibawa.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superitenden Zaiham Mohd Kahar berkata, ketika ditahan, pemandu itu memberi reaksi yang mencurigakan pegawai dan anggota polis yang bertugas ketika mengarahkan pemandu itu untuk menunjukkan muatan yang dibawa di belakang lori.
“Awal pemeriksaan, pemandu itu memaklumkan tiada barangan atau muatan di belakang, tetapi pihak polis tetap mahu bahagian belakang lori tersebut dibuka.
“Pemeriksaan mendapati belakang lori berisi daun ketum yang dibungkus dalam plastik dan dalam kotak pelbagai saiz,“ katanya di sidang media di Ibupejabat Polis Daerah Bentong, hari ini.
Katanya, polis mendapati 17 guni besar berwarna biru seberat 470 kg; 243 bungkusan berwarna kuning (225 kg) ; 15 bungkusan warna hitam (150 kg); 6 bungkusan warna merah (120 kg) dan 4 bungkus warna putih seberat 80 kg yang berisis daun ketum.
“Manakala sebanyak 25 kotak pelbagai saiz seberat 460 kg turut berisi daun ketum dan jumlah keseluruhan 1,505 kg daun ketum di dalam bungkusan dan kotak berjaya dirampas dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM45,150, “ katanya.
Katanya, lori berkenaan datang dari utara semenanjung pada 19 Jun kira-kira jam 10.00 malam, mengalami kerosakan di Rawang.
“Suspek (pemandu lori) menghubungi dalang penghantaran daum ketum ini yang dikenali dengan nama Syam untuk memaklumkan berlaku kerosakan lori tersebut.
“Dalang tersebut menyewa sebuah lori lain dan memunggah semua bungkusan dan kotak ke lori lain yang disewa untuk meneruskan perjalanan dipercayai ke lokasi yang ditetapkan di Kuantan.
“Hasil pemeriksaan, pemandu itu dibayar upah mengangkut barangan itu sebanyak RM1,500 sebagai deposit dan akan membayar baki RM1,500 setelah sampai di lokasi,” katanya.
Menurut Zaiham kes itu disiasat mengikut Sekysen 30 (3) Akta Racun 1962 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum selama 4 tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Polis turut merampas wang tunai RM1,900 dan sebuah lori seberat 3 tan. Selain itu daun ketum itu jika diproses akan menghasilkan 30,200 bungkus seberat satu liter air ketum.
Zaiham menasihat orang ramai menjauhkan diri daripada aktiviti tidak bermoral itu demi kesejahteraan masyarakat, mereka boleh memberi kerjasama dengan menghubungi Bilik Gerakan 09-2222222 jika mempunyai maklumat berkaitan.-SAHIH.