TUNGGU MAKHLUK ASING DATANG MELAMAR
TUNGGU MAKHLUK ASING DATANG MELAMAR
LONDON – Seorang pelakon dari Britain mendedahkan telah jatuh cinta dengan makhluk asing selepas dia kononnya diculik oleh sebuah objek terbang tidak dikenali (UFO) pada bulan lepas, lapor akhbar Daily Star semalam.
Abbie Bela mengakui sebelum ini, dia pernah bergurau mengenai keinginannya untuk diculik oleh makhluk asing kerana sudah ‘letih’ dengan lelaki dari Bumi.
“Sejak itu, saya mula bermimpi melihat lampu berwarna putih pada setiap malam. Pada satu malam, terdapat satu suara dalam mimpi saya yang berkata, ‘tunggu di tempat biasa’.
“Pada keesokan malamnya, ketika saya tertidur di tepi tingkap rumah yang terbuka, satu objek muncul dari luar rumah.
“Saya dapat lihat lampu terang berwarna hijau dan secara tiba-tiba saya dibawa masuk ke dalam UFO tersebut,” katanya.
Tambah wanita itu, terdapat lima makhluk asing di dalam UFO tersebut dan mereka mempunyai anggota badan seperti manusia, namun kelihatan amat tinggi dan kurus.
“Satu daripada makhluk asing itu tertarik kepada saya.
“Saya turut merasakan perasaan yang sama. Kata makhluk asing itu, saya perlu bersetuju untuk tinggal bersama mereka, namun saya menolak kerana bimbang akan diculik buat selamanya,” ujarnya.
Bela mendakwa dia dihantar pulang dengan selamat ke rumahnya selepas 20 minit, lapor KOSMO online.
Dia kini berharap agar makhluk asing itu datang kembali dan membawanya tinggal di angkasa lepas.