POLIS SABAH SIASAT WANITA TENGKING POLIS DI SJR
POLIS SABAH SIASAT WANITA TENGKING POLIS DI SJR
KOTA KINABALU – Siasatan menyeluruh akan dijalankan berkaitan rakaman video tular memaparkan seorang wanita menengking anggota polis di sebuah sekatan jalan raya (SJR) sejak semalam.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, pihaknya akan memanggil wanita terbabit untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan menyeluruh membabitkan kedua belah pihak sebelum tindakan lanjut diambil.
“Sekiranya terbukti benar ada anggota polis yang mengeluarkan kenyataan menyinggung perasaan wanita terbabit, kita akan ambil tindakan.
“Tindakan juga akan diambil sekiranya terbukti wanita itu menjadi punca ketegangan yang berlaku di SJR berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai dakwaan polis tidak sepatutnya mengeluarkan saman berikutan cukai jalan berkenaan tidak dapat diperbaharui ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Hazani berkata, cukai jalan kenderaan wanita berkenaan tamat sejak awal tahun ini.
“Perkara itu tidak dapat diterima kerana penguatkuasaan PKP pernah dihentikan dua kali sebelum ini. Walaupun cukai jalan tidak boleh diperbaharui, mengapa insurans kenderaan tidak diperbaharui,” katanya, lapor KOSMO online.
Terdahulu, kejadian tular berkenaan dipercayai berlaku pada 1 Jun lalu itu menerima pelbagai reaksi termasuk kecaman daripada netizen walaupun tidak diketahui punca sebenar kejadian berkenaan