PASANGAN WARGA EMAS TERPERANGKAP BANJIR KILAT
PASANGAN WARGA EMAS TERPERANGKAP BANJIR KILAT
LIPIS – Pasangan suami isteri warga emas terperangkap apabila rumah mereka dinaiki air di Kampung Kuala Lanar, Lipis, kejadian berlaku pada jam 11.00 malam, semalam
Hujan lebat yang berterusan mengakibatkan air Sungai Lanar melimpah masuk ke dalam rumah pasangan tersebut
Ketua Zon 3, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Penguasa Bomba Shahrul Nizam Nasir berkata, pihak bomba menerima panggilan daripada warga emas itu pada jam 11.30 malam tadi.
“Kita dimaklumkan oleh warga emas berkenaan mengenai air Sungai Lanar yang melimpah ke kediaman mereka serta meminta bantuan kecemasan untuk keluar daripada tempat itu.
“Pasukan Bomba dan Penyelamat Lipis terus menjalankan operasi menyelamat dan pemindahan dengan menggunakan sebuah bot gentian kaca (fiber) bersama seorang pegawai dan tujuh anggota di lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.
Katanya, anggota bomba mengambil masa setengah jam untuk memindahkan mangsa keluar dari lokasi dan kemudiannya pasangan warga emas itu dihantar ke rumah anaknya di Tanjung Lipis.
Tambahnya, kejadian limpahan air Sungai Lanar di kampung tersebut kerap berlaku selepas hujan lebat sebelum ini dan anggota bomba di sini pernah menjalankan operasi menyelamat penduduk berdekatan sungai itu.-SAHIH.