SUAMI ISTERI, LELAKI DITUDUH EDAR LEBIH 100KG DADAH
SUAMI ISTERI, LELAKI DITUDUH EDAR LEBIH 100KG DADAH
MAHKAMAH TIDAK MEMBENARKAN TIGA TERTUDUH DIIKAT JAMIN
KUALA LUMPUR: Suami isteri dan seorang lelaki berusia 21 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengedar 6.8kg dadah nimatazepam di sebuah rumah di Cheras, dua minggu lalu.
Cha Wee Sang, 31 , isterinya Gan Pei Hong, 21 dan Yap Yau Yang didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Segar pada 5 Jun lalu, lapor FMT.
Yap turut berdepan satu lagi tuduhan, mengedar 98.4kg heroin di Taman Bukit Hijau, Cheras, pada hari sama.
Majistret Aina Azahra Arifin tidak merekodkan pengakuan mereka kerana kesalahan mengedar dadah membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hanya boleh dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Peguam, T. Harpal Singh mewakili ketiga-tiga tertuduh. Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 18 Ogos.
Mahkamah turut menolak permohonan Harpal untuk membenarkan Gan diikat jamin atas alasan kesihatan, selain baru melahirkan anak dua bulan lalu.
Bagaimanapun, Harpal berkata, pihak Penjara Kajang diarahkan menghantarnya ke hospital untuk pemeriksaan. Sementara itu, Cha dan Yap akan terus ditahan di Penjara Sungai Buloh.