KPLB BAWA GERAK JENTERA PENDAFTARAN DAN SUNTIKAN VAKSIN KE PEDALAMAN
KPLB BAWA GERAK JENTERA PENDAFTARAN DAN SUNTIKAN VAKSIN KE PEDALAMAN
LIPIS : Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menggerakkan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) untuk menyegerakan urusan pendaftaran suntikan vaksin dan pengurusan lojistik bagi penduduk luar bandar.
Timbalan Menteri Satu KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, usaha itu melibatkan bantuan daripada 15,000 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), pemaju masyarakat, guru tadika, kakitangan Kemas dan LKW.
“Program pendaftaran vaksinasi ini juga akan memberikan tumpuan kepada golongan warga emas, Orang kelainan Upaya (OKU) dan penduduk Orang Asli di seluruh negara yang masih tercicir berikutan kedudukan tempat tinggal dan tahap ketersampaian yang rendah di pedalaman serta tidak mempunyai kemudahan alat peranti dan akses maklumat.
“Turut memberi kemudahan kepada warga emas yang terlantar dan program vaksinisasi bergerak akan diaktifkan ke kampung-kampung dan kawasan pedalaman berdasarkan data yang diperoleh dari Pejabat Kesihatan Daerah serta boleh mempercepatkan proses vaksinasi yang dibawa kepada orang awam,” katanya.
Abdul Rahman berkata demikian kepada media selepas melancarkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Untuk Warga Emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) peringkat negeri di Kampung Kuala Kenong, dekat sini hari ini.
Sempena program itu, Abdul Rahman turut beramah mesra dengan seramai 12 orang warga emas yang berusia antara 60 hingga 90 tahun telah mendaftar menerima suntikan vaksin dos pertama daripada kakitangan Jabatan Kesihatan Lipis di dua buah kampung, iaitu Kampung Kuala Kenong dan Kampung Dusun.
“Program di kedua kampung ini antara perintis kerjasama KPLB dengan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mengaktifkan pendaftaran dan suntikan vaksin di kampung termasuk hadir ke rumah bagi kalangan warga emas yang terlantar dan uzur.
“Menerusi cadangan ini, task force KPLB, Pejabat Daerah, Pejabat Kesihatan Daerah, Kemas dan agensi LKW akan menggunakan kemudahan lojistik seperti dewan, balai raya, sekolah tadika, pusat kegiatan Kemas dan sebagainya sebagai pusat vaksinasi kampung berkenaan,” katanya.
Katanya, golongan warga emas dan OKU akan dibantu oleh JPKK, kakitangan Kemas dan LKW memandangkan jarak antara kediaman mereka ke pusat vaksinasi yang jauh malah ada yang perlu menggunakan laluan sungai ataupun kenderaan pacuan empat.
“Ini antara usaha terbaik untuk membantu warga emas, OKU dan Orang Asli yang tinggal jauh lebih cepat menerima suntikan apabila pusat vaksinasi berdekatan tempat tinggal masing-masing,” katanya.
Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis berkata, kira-kira 25,000 orang penduduk Orang Asli di negara ini sudah mendaftar untuk mendapatkan suntikan dalam masa terdekat, peningkatan pendaftaran penduduk Orang Asli sebanyak 50 peratus berbanding cuma 15,000 sahaja yang bersetuju ketika mula dilaksanakan kempen pendaftaran imunisasi pada bulan Mac lalu.
“Ini menunjukkan petanda yang baik kesedaran penduduk luar bandar khususnya warga emas, OKU dan Orang Asli yang pada awalnya sambutan amat dingin ketika KPLB mula menguar-uarkan pendaftaran dan pengambilan vaksin,” katanya.
Sementara itu, warga emas Kampung Kuala Kenong, Kamaruzaman Mat Jalih, 82, berkata, dia memuji usaha KPLB dan Jabatan Kesihatan Lipis kerana datang ke rumahnya memberikan suntikan vaksin termasuk isterinya, Zariah Awang yang berusia 81 tahun.
“Saya tidak mampu ke pusat vaksin di bandar kerana sudah uzur lebih lagi perlu menaiki bot penambang menyeberangi Sungai Jelai dan kemudiannya ke bandar Kuala Lipis, usaha begini memberi kemudahan kepada penduduk sepertinya serta menyegerakan proses suntikan vaksin,” katanya.-SAHIH.