3 MAUT KERETA BERTEMBUNG MOTOSIKAL
3 MAUT KERETA BERTEMBUNG MOTOSIKAL
MIRI: Tiga maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta yang bertembung dengan motosikal di Jalan Miri-Bintulu, malam tadi.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 6 Miri, Law Poh Kiong, berkata dalam kejadian kira-kira jam 8.10 malam itu, mangsa yang maut di lokasi kejadian adalah pemandu kereta PROTON Wira, Mohammad Mukmin Sholehin Abdul Rahim, 29; dan dua mangsa menaiki motosikal iaitu penunggang, Roland Gerunsin, 26, serta pemboncengnya Maria And, 56.
Beliau berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Central bergerak ke lokasi sejurus menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 8.12 malam.
“Sampai di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati semua mangsa sudah meninggal dunia dengan kecederaan parah di bahagian kepala dan badan,” katanya.
Poh Kiong berkata, semua mangsa tidak tersepit dan mayat ketiga-tiganya dikeluarkan dari lokasi kejadian untuk diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tindakan lanjut.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Miri bagi tujuan pemeriksaan serta bedah siasat, lapor BH ONLINE.
“PDRM akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengetahui punca sebenar yang menyebabkan berlakunya pertembungan antara kedua-dua kenderaan itu,” katanya.