SANITASI MASIH DIPERLUKAN UNTUK KESEJAHTERAAN DAN KESELAMATAN UMUM.
SANITASI MASIH DIPERLUKAN UNTUK KESEJAHTERAAN DAN KESELAMATAN UMUM.
MARAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah memutuskan untuk segera melakukan semburan sanitasi besar-besaran yang meliputi 284 lokasi panas di seluruh negara ketika negara mengalami gelombang ketiga pandemik Covid-19.
Sehingga sekarang, sebanyak 25,252 operasi sanitasi telah dilaksanakan meliputi hampir semua kawasan panas termasuk kawasan hijau.
Timbalan Menteri KPKT, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib berkata, operasi sanitasi telah dilakukan sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1 lagi, seperti di sekolah, klinik, hospital, pasar dan tempat tumpuan orang ramai bagi memutuskan penularan wabak ini.
“Kita mendapat kerjasama daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk melakukan semburan sanitasi termasuk bantuan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia kerana terdapat tanda positif hasil semburan dilakukan.
“Baru-baru ini, pihak kementerian kami mendapat pandangan dan teguran persatuan pakar berkaitan semburan sanitasi yang dianggap satu pembaziran sekiranya dilaksanakan secara tidak bersasar dan tidak berasaskan maklumat sains yang terkini untuk membendung penyebaran wabak Covid-19,” katanya ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin di maran, semalam.
Katanya, persatuan itu khuatir bahan-bahan kimia yang digunakan dalam program sanitasi tersebut akan membawa kesan yang buruk kepada masyarakat.
“Saya hormat pandangan pakar tersebut, namun oleh kerana langkah sanitasi telah dilakukan sebelum ini dan mendapat maklum balas positif, usaha itu harus dilakukan.
“Walau begitu, sanitasi ada faedahnya terutama dilakukan pada kawasan merah, jingga dan kuning bagi segera menurunkan beban virus Covid-19 dalam persekitaran. Kami akan mendapat pandangan semua pihak dan dilakukan secara bersasar,” katanya.
Katanya, kerajaan sentiasa siap siaga membantu melawan pandemik ini dan sanitasi dilakukan bagi membasmi dan nyahkuman demi keselamatan dan kesejahteraan umum dan negara.-SAHIH.