ATAP ZINK TERBANG MELAYANG
ATAP ZINK TERBANG MELAYANG
Pontian: Sebanyak 13 rumah mengalami kerosakan teruk terutama pada atap akibat dilanda ribut dalam kejadian di Kampung Sungai Bunyi, di sini, hari ini.
Salah seorang mangsa Ahmad Shah Salim, 40, berkata kejadian kira-kira 12 tengah hari dalam tempoh 20 minit ketika dia dan keluarganya sedang makan tengah hari.
Katanya, hampir keseluruhan atap zink dan dinding papan rumah sewanya itu diterbangkan angin, malah gerai burger miliknya di hadapan kediaman berkenaan turut rosak.
“Ketika kejadian, saya bersama isteri Nora Mohd Nor, 36, dan tiga anak berusia enam hingga 15 tahun sedang menikmati makan tengah hari.
“Namun tiba-tiba angin kuat menderu dan apabila kami mendongak mendapati atap zink rumah tercabut satu persatu diikuti dinding bahagian hadapan.
“Kami sekeluarga yang terkejut dan ketakutan tidak sempat menyelamatkan harta benda apabila hujan lebat mencurah membanjiri bahagian dalam kediaman,” katanya ketika ditemui, di sini.
Katanya, dia bersama keluarga terpaksa menumpang di rumah ibunya buat sementara waktu berikutan keadaan rumahnya yang terjejas teruk.
Sementara itu, Ketua Kampung Kawasan 6 Mukim Rimba Terjun, Halif Kamaruddin berkata, pihaknya akan berusaha membantu mangsa yang terjejas dengan merujuk perkara berkenaan kepada pihak berkaitan, lapor HM online.
“Bagi meringankan beban penduduk terjejas, saya akan mendapatkan bantuan segera termasuk kos membaiki atap zink yang diterbangkan angin selain membaiki rumah,” katanya.