Covid-19 RAGUT KEBAHAGIAN LIMA BERADIK
Covid-19 RAGUT KEBAHAGIAN LIMA BERADIK
PORT DICKSON – Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
Itu dugaan hidup yang terpaksa ditanggung Muhammad Haidir Rodzi, 23, dari Bandar Sunggala di sini, apabila dia kini perlu menjaga empat adiknya selepas mereka kehilangan ibu dan bapa yang meninggal dunia akibat Covid-19.
Bapa kepada lima beradik itu, Rodzi Tahar, 55, yang mempunyai sejarah penyakit buah pinggang disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 4.30 pagi di Hospital Tampin (HT) pada 31 Mei lalu.
Ibu mereka, Nazita Idris, 45, pula menghembuskan nafas terakhir ketika dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban pada pukul 2.30 petang kelmarin.
Lebih menyedihkan, nenek kepada lima beradik itu yang tinggal bersama mereka, Faridah Md. Shahar, 75, turut positif dan kini dirawat di Hospital Tampin.
Menurut Muhammad Haidir Rodzi, 23, dia dan empat adiknya yang berusia tujuh hingga 20 tahun kini menjalani kuarantin selepas disahkan positif Covid-19.
Menceritakan semula kisah kematian bapanya, Muhammad Haidir berkata, detik hitam dalam keluarga mereka bermula pada 26 Mei lalu apabila bapanya mula merasa tidak sedap badan selain sering kesejukan.
Ibu bapa kepada lima beradik ini meninggal dunia akibat Covid-19.
“Keesokkan harinya, abah terpaksa tangguhkan untuk menjalani dialisis kerana tidak sihat. Pada hari Jumaat, keadaan abah makin teruk apabila dia mula sesak nafas sebelum kami membawanya ke Hospital Port Dickson (HPD).
“Semasa di HPD, abah jalani ujian calitan Covid-19 dan keesokan harinya, keputusan ujian calitat mengesahkan abah positif Covid-19,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Muhammad Haidir berkata, susulan keputusan positif itu, bapanya telah dibawa ke Hospital Tampin untuk rawatan Covid-19.
“Ketika berada di wad hospital, abah masih sempat menghubungi mak kerana mak mengalami masalah penglihatan akibat katarak. Keesokan harinya, pihak hospital maklumkan mak juga positif Covid-19 dan perlu dihantar ke HTJ,” katanya.
Tambah Muhammad Haidir, sehingga kini mereka sekeluarga tidak tahu punca kepada jangkitan Covid-19 dalam keluarganya.
“Abah meninggal dunia pada 31 Mei lalu iaitu kurang seminggu selepas dimasukkan ke hospital. Keadaan ketika itu sangat sedih kerana kami memang rapat dengan mak dan abah. Setiap pagi, adik bongsu akan memeluk abah selepas bangun dari tidur.
“Selepas kematian abah, kami dikejutkan pula dengan panggilan video oleh kakitangan hospital yang menunjukkan keadaan mak. Ketika itu, mak tidak memberikan reaksi dan keadaannya sangat kritikal.
“Sedih lihat keadaan mak, kami dapat lihat banyak tiub pada badan dan mak juga susah untuk bernafas. Sekitar pukul 2.30 petang, doktor sahkan mak sudah tiada.
“Ketika itu kami hanya mampu menangis sambil berpelukan. Tiada apa yang kami mampu lakukan ketika,” katanya yang memaklumkan kedua-dua jenazah orang tuanya dikebumikan Tanah Perkuburan Kampung Sawah Sunggala.
Ditanya mengenai perancangan masa depan, beliau mengakui tugas mencari rezeki dan membesarkan adiknya kini terletak di bahunya.
“Sebelum ini, hanya adik kedua yang bekerja sebagai pengawal keselamatan kerana saya jaga mak dan abah yang sakit.
“Selepas habis kuarantin, saya akan mula cari kerja. Malah, semasa kali pertama panggilan video, mak ada pesan agar saya jaga adik sebaiknya,” katanya, lapor KOSMO online.
Dalam pada itu, orang ramai yang ingin membantu bagi meringankan beban keluarga ini boleh menyumbang ke akaun Ambank milik Muhammad Haidir bernombor 8881013464888.