PENAGIH MENGAMUK BAKAR RUMAH
PENAGIH MENGAMUK BAKAR RUMAH
SUNGAI PETANI- Seorang penagih dadah mengamuk sebelum membakar rumah milik keluarganya di Kampung Seri Ketengga, Siong, Baling, kira-kira jam 4 petang, Isnin.
Lelaki berusia 36 tahun itu dikatakan sebelum itu menghalau ahli keluarga keluar dari rumah dan mengunci pintu tanpa membenarkan sesiapa masuk dengan mengacukan dua bilah parang.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata,
polis menerima maklumat daripada abang suspek yang mengatakan berlaku kejadian amukan sebelum suspek membakar rumah mereka.
Menurutnya, polis terpaksa memecahkan pintu sebaik sahaja usaha memujuk, gagal.
“Kita bertindak memecahkan pintu dengan bantuan pihak bomba yang membuat pancutan air bagi menghalang suspek membuat serangan.
“Tangkapan berjaya dilakukan bagaimanapun suspek mengalami kecederaan kecil di kepala akibat pergelutan,”katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau, polis merampas dua bilah parang yang digunakan dalam kejadian itu.
Suspek dibawa ke Hospital Baling untuk rawatan dan ditahan di Lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Baling, lapor SINAR HARIAN.
Shamsudin berkata, hasil siasatan mendapati suspek yang ketagihan dadah tidak dapat mengawal diri dengan bertindak menghalau ahli keluarga sebelum membakar rumah terbabit.
Hasil semakan mendapati suspek pernah dihukum atas kesalahan membabitkan kes dadah.
Kejadian membabitkan kerugian anggaran sebanyak RM10,000.
Suspek direman selama empat hari sehingga 11 Jun bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api yang memperuntukkan hukuman penjara maksimun 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.