UFO DIPERCAYAI MILIKI PANGKALAN DI DASAR LAUT
UFO DIPERCAYAI MILIKI PANGKALAN DI DASAR LAUT
LONDON – Beberapa pengkaji makhluk asing percaya bahawa objek tidak dikenali (UFO) berasal dari dasar laut dan bukannya angkasa lepas seperti yang digembar-gemburkan, lapor akhbar Daily Star kelmarin.
Naib Presiden Gabungan Antarabangsa untuk Penyelidikan Makhluk Asing (ICER), Gary Heseltine berkata, satu klip video tular baru-baru ini yang memaparkan beberapa objek terbang didakwa sedang mengelilingi kapal tentera laut Amerika Syarikat (AS) adalah petunjuk penting kepada asal-usul UFO.
Kejadian itu mendorong pengkaji-pengkaji UFO untuk mempercayai bahawa makhluk asing berasal dari dasar lautan.
“UFO sering dilihat keluar dan masuk ke dalam laut. Jadi, kami mengesyaki dasar laut mungkin menempatkan pangkalan makhluk asing.
“Meskipun kedengaran tidak munasabah, namun jika difikirkan, kita hanya ada lima peratus pengetahuan mengenai dasar lautan, malah kita lebih banyak mengetahui tentang angkasa lepas,” katanya.
Dakwaan Heseltine turut disokong penerbit dokumentari, Jeremy Corbell yang turut mempercayai makhluk asing berasal dari dasar laut.
Menurut Corbell, objek terbang yang mengelilingi kapal tentera laut AS disifatkan sebagai transmedium iaitu kemampuan untuk beroperasi di udara dan di dalam air.
“UFO mungkin berasal dari tempat yang jauh, namun kebiasaannya, kita melihat objek itu datang dari lokasi lebih dekat.
“Sama seperti manusia yang mempunyai wakil kedutaan di negara asing, terdapat kemungkinan bahawa adanya ‘stesen’ makhluk asing di dasar lautan, di mana pesawat UFO boleh berhenti seketika apabila berada di Bumi.
“Ini adalah bukti yang menunjukkan bahawa UFO melakukan transit di Bumi di dasar lautan,” jelasnya.
Baru-baru ini, rakaman video radar yang memaparkan kapal tentera laut AS dikelilingi oleh beberapa buah UFO telah didedahkan kepada umum.
Susulan kejadian itu, pegawai-pegawai perisikan AS telah diarah untuk mengumpulkan dokumen mengenai UFO untuk dibentangkan kepada Kongres dan laporan tersebut dijangka disiarkan pada bulan ini. – AGENSI