PAHANG REKOD 3 KLUSTER BAHARU
PAHANG REKOD 3 KLUSTER BAHARU
KUANTAN: Sebanyak tiga kluster baharu dilaporkan di negeri Pahang, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 32 kluster dikesan sejak wabak COVID-19 melanda negara sejak awal tahun lalu.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Bahari Che Awang Ngah berkata, tiga kluster itu membabitkan Kluster Industri Gebeng dan Batu Hitam di Kuantan, serta Kluster Kampung Mat Daling di Jerantut.
Katanya , setakat ini sebanyak 14 kluster aktif di negeri ini dengan pertambahan kes baharu sehingga menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif Covid-19 mencecah 10,139 kes.
“Kluster Industri Gebeng bermula dengan satu kes dilaporkan 28 Mei lalu dengan penularan wabak di tempat kerja apabila
seorang rakyat tempatan (mempunyai gejala) menyebabkan seramai 70 individu disaring dan 25 daripadanya positif Covid-19.
“Bagi kluster Batu Hitam pula, iabermula dengan satu kes positif melibatkan seorang lelaki berusia 52 tahun di sebuah kilang di Gebeng pada 21 Mei lalu.
“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat aktiviti menziarahi keluarga yang tinggal di kawasan berdekatan pada hari raya pertama, 13 Mei lalu dan selepas saringan dilakukan terhadap 80 kontak rapat, terdapat 39 kes dikesan positif Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Dalam pada itu, Dr Bahari berkata, bagi kluster Kampung Mat Daling pula, penularan wabak itu melibatkan ahli keluarga dan penduduk kampung yang tinggal di sekitar kampung tersebut yang berkumpul dan beraya bersama.
“Kes di Kampung Mat Daling dilaporkan pada 25 Mei lalu dan kita syak bermula dengan kes indeks seorang wanita tempatan berusia 37 tahun yang tidak mempunyai sejarah penyakit.
“Namun wanita itu mula mengalami gejala hilang deria rasa pada 21 Mei lalu dan menjalani ujian saringan di klinik swasta sebelum didapati positif.
“Siasatan lanjut mendapati wanita itu telah pulang ke Kampung Mat Daling antara 11 Mei sehingga 18 Mei lalu dan seramai 47 kontak rapat telah disaring melibatkan ahli keluarga serta penduduk kampung dan hasilnya 10 kes disahkan positif Covid-19 dikesan,” katanya.
Sementara itu katanya, daripada 135 kes baru direkodkan hari ini, sebanyak 122 kes adalah rakyat tempatan, manakala 13 kes membabitkan warganegara asing.
“Jumlah 132 kes itu pula membabitkan jangkitan tempatan, dua kes jangkitan Import B (satu kes dari Terengganu, satu kes dari Perak) dan satu kes adalah di kalangan orang kena tahan (OKT).
“Selain itu, 73 kes diperolehi daripada saringan kluster, 47 kes saringan kontak rapat, 13 kes saringan bergejala dan masing-masing satu kes bagi saringan pekerjaan dan kendiri,” katanya.-SAHIH