MAUT DILANGGAR KETIKA MAHU BELI MAKANAN
MAUT DILANGGAR KETIKA MAHU BELI MAKANAN
KOTA TINGGI – Seorang warga emas maut ketika dalam perjalanan hendak membeli makanan selepas motosikal ditunggang terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 42, Jalan Sungai Rengit – Kota Tinggi berhadapan sebuah stesen minyak di Air Tawar 5 di sini pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan itu pukul 10.30 pagi.
Katanya, mangsa merupakan seorang peneroka Felda Air Tawar 5, Mohammad Sulaiman, 81, dipercayai maut akibat mengalami cedera parah pada kepala dan kaki.
“Dalam kemalangan ini, mangsa yang menunggang Honda C70 dalam perjalanan dari rumah di Felda Air Tawar 5 menghala ke kedai makan di seberang jalan iaitu berhadapan Petron Air Tawar 5 untuk membeli makanan.
“Pemandu Volkswagen Beetle yang juga seorang kerani pula dalam perjalanan dari arah bandar Kota Tinggi menghala ke tempat kerja di Bandar Penawar.
“Siasatan awal mendapati ketika melalui lokasi kejadian penunggang motosikal dipercayai telah secara tiba-tiba menyeberangi jalan secara perlahan, lalu memasuki laluan bertentangan sebelum dilanggar kereta yang berada dilaluan menghala ke Sungai Rengit,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Hussin berkata, kesan dari perlanggaran tersebut menyebabkan penunggang motosikal terjatuh di atas jalan dan terseret lebih kurang enam meter ke hadapan.
Katanya, mangsa kemudian telah dibawa ke Klinik Kesihatan Felda Air Tawar 5 untuk rawatan kecemasan namun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.
“Manakala pemandu kereta berusia 25 tahun tidak mengalami apa-apa kecederaan, lapor KOSMO online.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat dan kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”katanya.