# LOCKDOWN DAN GAGAL?
# LOCKDOWN DAN GAGAL?
Akhirnya kita lockdown semula. Maka ramai yang mula menggunakan hashtag: kerajaan gagal. Namun bak kata orang-orang Melayu lama, satu jari menuding orang lain, 4 jari akan berbalik kepada diri sendiri.
Saya katakan saya gagal. Saya mengendalikan pesakit-pesakit, ibu-ibu, memberikan vaksin kepada bayi-bayi namun saya gagal mendidik mereka dan suami mereka serta ahli keluarga mereka tentang vaksin, misalnya.
Sehinggakan reaksi masyarakat terhadap vaksin adalah seolah-olah ini pertama kali mereka berhadapan dengan vaksin. Seolah-olah mereka tidak biasa dengan anak-anak mereka demam, sakit di tempat suntikan untuk tempoh sekejap.
Saya gagal. Guru-guru gagal menerangkan tentang kepentingan vaksin walaupun ia subjek wajib tingkatan 5 dan masuk di dalam SPM. Kementerian pendidikan gagal kerana pendidikan yang berfokus kepada peperiksaan gagal memandaikan masyarakat walaupun mereka skor A semua subjek. Kerajaan gagal membina suatu bangsa malaysia yang beradab.
Kita gagal dalam membentuk masyarakat yang mempunyai sistem nilai yang benar. Gagal dalam membentuk masyarakat yang boleh berfikir rasional dan matang yang boleh membuat keputusan yang benar. Kita gagal membentuk masyarakat yang boleh berfikir dengan saksama.
Masyarakat kita gagal untuk faham tentang situasi yang kita hadapi sehingga mereka rasa seperti hero kerana dapat rentas negeri dan balik beraya. Kerajaan tidak gagal bersendirian. kerajaan gagal bersama-sama kita sekalian pun gagal.
Bagaimana kita boleh jadi begini? Majikan-majikan gagal meyakinkan staf untuk tidak rentas negeri. Guru-guru gagal. Imuwan, professor gagal menterjemahkan teori di atas kertas supaya dapat difahami oleh masyarakat akar umbi.
Agamawan gagal untuk menerangkan konsep tawakkal sebenar di dalam Islam sehingga masyarakat kita seakan-akan menganut fahaman sesat jabbariah, tawakkal tanpa usaha. Bahkan ada agamawan sendiri yang menentang segala bentuk perubatan moden.
Kita gagal mendidik masyarakat bagaimana menilai sebuah kajian, mana kajian yang diyakini dan mana kajian yang sampah sehingga masyarakat percaya bulat-bulat semua berita, bahkan yang tiada asas sains langsung!
Maka bertebaranlah tips itu dan ini sebagai rawatan Covid. Semua ini kerana asas pemikiran kritikal, logik dan saintifik tidak terbentuk. Di mana sepatutnya ia terbentuk? Di sekolah, di universiti? dari rumah? dari media?
Media menyumbang kegagalan paling besar. Sekiranya media dari dulu bertujuan memandaikan manusia, tentu tidak sesusah sekarang. Filem2 picisan mengarut yang dihidangkan setiap hari sehingga merosakkan akal yang sihat.
Adakanlah filem2 yg bijak sikit yang mendidik. Tolonglah. Filem yang meningkatkan motivasi yang patriotik, filem sci-fi, dokumentari dan lain-lain. Anda lebih tahu.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga gagal. Gagal meyakinkan rakyat mereka adalah antara yang terbaik dunia. Semalam saya berseminar secara online bersama pelajar-pelajar saya tentang tajuk Perinatal infection. Jangkitan mikro-organisma kepada wanita mengandung. Termasuk Covid dan HIV.
Malaysia telah berjaya menghampiri nilai 0 untuk jangkitan ibu HIV kepada bayi yang dikandungnya. Bermula dari saringan ibu mengandung untuk mengesan HIV, pemberian ubat kepada ibu, melahirkan ibu melalui pembedahan,diikuti dengan ubat kepada bayi dan prosedur-prosedur khusus.
Sehingga Alhamdulillah, bayi tidak terjangkiti. Tapi siapa yang tahu. KKM dan orang-orang yang terlibat saja yang tahu. Masyarakat tidak tahu kejayaan-kejayaan ini.
Begitu juga kejayaan vaksin menghapuskan polio, batuk kokol, cacar smallpox, kecacatan disebabkan rubela sudah hampir tidak didengari.
Bila kita tidak berusaha memandaikan masyarakat, berkongsi info-info perubatan, masyarakat jadi tidak yakin dan syak pada hospital dan KKM secara keseluruhannya.
Dalam keadaan kita tidak menguasai media sosial, maka juak-juak anti-vaksin, pro-supplement, pro-all natural menguasai gelanggang. It’s all a recipe for disaster.
Ahli politik baik pembangkang atau parti yang memerintah, ini bukan masa untuk mencari mileage. Ini masa untuk meletakkan di bawah semua perbezaan dan sama-sama menyinsing tangan membantu menyelamatkan negara. Jangan duduk bergembira melihat kapal dimasuki air sampai lupa kita berada di atas kapal yang sama.
Anda ada cyber-war team yang bagus, manfaatkanlah untuk didik masyarakat di waktu kritikal ini.
Saya boleh katakan dengan keyakinan 100 peratus jika kerajaan bertukar tangan sekali pun tetap akan gagal kerana masyarakat ini adalah masyarakat yang sama.
Selagi kita, apa pun posisi kita, sebagai ibu atau bapa, sebagai guru, sebagai majikan, sebagai artis, ustaz atau apa-apalah, tidak berusaha membina masyarakat kita ini supaya mempunyai sistem nilai dan pertimbangan yang benar, selagi itu kita akan gagal.
Ditulis oleh, Dr. Ariza Mohamed – Pakar Obstetric and Gynaecologist
Pandangan ini bukan pandangan SAHIH.