TIGA ANGGOTA POLIS CEDERA DIREMPUH KETIKA PANTAU OPS COVID-19
TIGA ANGGOTA POLIS CEDERA DIREMPUH KETIKA PANTAU OPS COVID-19
KLANG – Tiga anggota polis cedera ketika menjalankan tugas pemantauan Ops Covid-19 apabila kereta polis peronda (MPV) dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda (4X4) yang keluar daripada simpang dalam kejadian di Sungai Kapar Indah di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.15 tengah hari itu, dua anggota termasuk pemandu MPV masing-masing berpangkat sarjan dan konstabel cedera ringan pada bahagian rusuk kiri dan bengkak belakang kepala.
Manakala seorang lagi anggota berpangkat koperal dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini untuk rawatan susulan kecederaan pada bahagian rusuk kiri.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila MPV tersebut dalam perjalanan ke Jalan Kapar dari Perepat.
“Setiba di simpang empat Jalan Jati Kanan dengan Perepat, sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Triton dipandu lelaki berusia 59 tahun itu yang keluar dari simpang terus melanggar bahagian tepi pemandu MPV polis tersebut.
“Impak kejadian tersebut mengakibatkan pemandu MPV polis berpangkat sarjan dan penumpangnya konstabel mengalami cedera di bahagian rusuk kiri dan bengkak belakang kepala. Seorang lagi berpangkat koperal dihantar ke HTAR,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini, lapor KOSMO online.
Nurulhuda menambah, pemandu 4X4 tersebut yang luka di kepala dihantar ke sebuah hospital swasta untuk mendapatkan rawatan.
Tegas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. –